Umno sudah
tidak layak mewakili orang Melayu/bumiputera
Saya tidak bersetuju dengan
pendapat Pak Lah yang mengatakan 7 rayuan sensitif diketepikan oleh Suqiu
adalah “Victory for all Malaysians”. Pada pandangan Umno ia adalah
kemenangan parti itu yang sedikit sebanyak dapat memulihkan imej yang tercalar
dengan menjadi hero kaum bumiputera tetapi adakah pengenepian 7 rayuan sensitif memberi kemenangan/keuntungan kepada kaum Bumiputera? Bagi saya tiada apa yang
hendak dibanggakan oleh Umno. Apa yang Umno katakan parti itu memperjuangkan atau
membela nasib kaum Melayu adalah satu omong-omong kosong. Dengan pengenepian 7
rayuan sensitif, adakah Umno benar-benar mempertahankan atau memperjuangkan
hak-hak istimewa mereka? Dukacita dimaklumkan bahawa Umnolah yang musnahkan bangsa
Melayu. Oleh itu Umno diminta jangan salahkan kaum Cina sebagai kaum ekstremis dan
meminta berbagai-bagai tuntutan yang bukan-bukan. Umno harus salahkan diri
sendiri.
Perlaksanaan DEB, DPN dan hak-hak istimewa diberikan kepada kaum
Bumiputera adalah satu langkah yang baik untuk memajukan kaum Bumiputera dalam
pelbagai aspek tetapi apa yang menyedihkan buat kaum Bumiputera ialah dasar ini
telah disalahgunakan oleh Umno untuk memperkayakan diri sendiri, keluarga dan
kroni-kroni kenalan rapat Umno. Akhirnya ramai kaum bumiputera yang sangat-sangat
mengharapkan bantuan daripada kerajaan meneropong kerana mereka tidak mendapat
faedah dari dasar DEB mahupun DPN.
Saya mahu Umno menjawab
persoalan-persoalan dengan hati yang ikhlas di bawah. Apakah yang terjadi kepada
tanah rezab milik kaum Melayu? Siapa yang menjual tanah rezab milik orang Melayu
kepada kroni-kroni? Tanah rezab kaum Melayu dijual atas alasan pembangunan. Apakah
faedah yang diperolehi oleh pemilik tanah? Yang mendapat keuntungan ialah penjual
dan pembeli sahaja. Tanah dijual dengan harga yang murah dan kemungkinan besar
akan dijual dengan harga yang lebih tinggi. Akhirnya banyak tanah rezab kaum
Melayu tergadai atas kerakusan golongan tertentu mencari kekayaan. Oleh itu
diminta Umno jangan menuduh kaum Cina yang mahu membolot kekayaan untuk kaum
mereka sahaja. Apa yang sebenarnya berlaku, Umnolah yang bolot semua kekayaan
untuk kepentingan golongan tertentu sahaja. Mengata orang diri sendiri yang lebih.
Apakah
yang terjadi kepada bahasa kebangsaan? Nampaknya Umno, Dewan Bahasa dan Pustaka
tidak bersungguh-sungguh mahu memelihara dan mengembangkan bahasa Melayu. Apakah
yang telah berlaku kepada drama dan filem Melayu? Skripnya berpandukan kepada
bahasa rojak. Begitu juga dengan Majlis Daerah/Perbandaran/Bandar Raya yang tidak
mengendahkan papan iklan kedai-kedai perniagaan yang tidak menggunakan tata bahasa
yang betul dan dicampuradukkan dengan Bahasa Inggeris. Kalau keadaan ini terus
dibiarkan berlaku, identiti bahasa Melayu yang mempunyai keunikan dan keindahan
bahasa yang tersendiri akan lama kelamaan akan terhapus.
Apakah yang
terjadi kepada rakyat negeri Terengganu di bawah bekas pemerintahan Barisan
Nasional sebelum diambil alih oleh Pas? Kenapa Terengganu boleh jadi negeri yang
kedua termiskin sedangkan berbillion-billion wang royalti telah diterima daripada
Petronas? Bukan sahaja ramai rakyat negeri Terengganu yang masih miskin tetapi yang
sangat mengecewakan ialah kerajaan BN berhutang RM 700 juta. Kemana wang royalti
telah dibelanjakan dan kenapa kerajaan BN boleh berhutang sedangkan duit royalti
yang diterima memang sudah cukup untuk menampung segala perbelanjaan yang
diperlukan? Bukan sahaja cukup tetapi lebih daripada mencukupi. Sehingga kini
diktator tua tidak berani mengulas hal yang memalukan ini. Inilah gara-gara Umno
yang kononnya membela bangsa Melayu tetapi hakikatnya bangsa Melayu yang mengalami
berbagai kesusahan akibat kerakusan dan pemimpin-pemimpin Umno yang hanya tahu
jaga sendiri.
Persoalan-persoalan di atas telah dikemukakan banyak kali
tetapi tidak menghairankan sampai hari ni Umno membisu dan tidak berani menjawab
persoalan-persoalan di atas. Pemuda Umno berani berlagak jantan di hadapan Suqiu
mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu tetapi pada hakikatnya Umno telah
gagal menjaga kepentingan orang Melayu/Bumiputera. Amat memalukan Umno tanpa segan
silu menyalahkan kaum lain yang didakwa ingin mencabar, menguasai dan
membolot kekayaan tetapi pada hakikatnya Umno lebih hina lebih teruk kerana secara
terang-terangan memunggah kekayaan untuk kepentingan diri sendiri. Siang-siang
lagi orang Melayu sudah menolak Umno dan Umno bermimpi siang agaknya mahu eratkan
perpaduan Melayu dan kaum-kaum yang lain. Umno sudah tidak layak lagi mewakili
kaum Melayu.
LTL
|
|